NEW DELHI, 2 April- Panglima Angkatan Tentera Pakistan, Qamar Javed Bajwa berkata operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine "tidak boleh dibiarkan" dan menggesa permusuhan antara kedua-dua negara dihentikan segera.
"Meskipun terdapat kebimbangan mengenai isu keselamatan sempadan Rusia, operasi ketenteraan terhadap negara lebih kecil tidak boleh dibiarkan," katanya ketika berucap di sesi Dialog Keselamatan Islamabad.
Beliau berkata, Pakistan secara konsisten menggesa gencatan senjata dengan kadar segera dan menghentikan permusuhan.
“Kami menyokong sesi dialog antara semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian berkekalan kepada konflik itu," katanya.
Pakistan tidak mempercayai blok kuasa politik dan menekankan hubungan mesra dengan semua negara.
(Foto fail)
“Pakistan tidak percaya dengan politik kem dan hubungan dua hala kami dengan rakan kongsi tidak menggugat hubungan kami dengan negara lain,” katanya.
Mengenai situasi di Afghanistan, beliau menyeru untuk terlibat dengan kepimpinan baharu bagi menangani situasi kemanusiaan.
"Pakistan telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan dengan kerjasama masyarakat antarabangsa tetapi banyak lagi yang diperlukan.
“Walaupun prestasi kerajaan Afghanistan sekarang tidak memuaskan, kita perlu bersabar dan menyalurkan bantuan," kata Bajwa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai insiden pelancaran peluru berpandu India secara tidak sengaja ke Pakistan pada 9 Mac.
“Tidak seperti insiden lain yang melibatkan sistem senjata strategik, ini adalah kali pertama dalam sejarah pelancaran peluru berpandu supersonik dari sebuah negara senjata nuklear mendarat di negara lain,” katanya.