(Orang ramai melalui kawalan pasukan keselamatan yang mengawal di jalan di bandar raya Colombo
selepas Presiden Sri Lanka mengumumkan darurat di seluruh negara itu/FOTO AFP)
MUMBAI, 2 April- Peniaga India memperuntukkan 40,000 tan beras untuk penghantaran segera ke Sri Lanka bagi bantuan makanan asas yang buat julung kali dilaksanakan sejak Colombo memperoleh saluran kredit dari Delhi, kata dua pegawai kepada Reuters hari ini.
Negara kepulauan Lautan Hindi dengan 22 juta penduduk itu bergelut untuk membayar import penting selepas penurunan 70 peratus rizab pertukaran asing dalam tempoh dua tahun. Ini menyebabkan penurunan nilai mata wang serta pelbagai usaha giat dijalankan untuk mendapatkan bantuan daripada pemberi pinjaman global.
Penghantaran makanan ruji itu dibuat sebelum sambutan perayaan utama di Sri Lanka.
Sri Lanka berdepan kekurangan bekalan bahan api, lonjakan harga makanan dengan protes berlaku ketika kerajaan bersiap sedia berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa di tengah-tengah kebimbangan terhadap keupayaan negara itu untuk membayar balik hutang asing.
Pada bulan lalu, India yang juga pengeksport beras terbesar dunia, menyatakan persetujuan pada untuk menyediakan kemudahan kredit berjumlah USD1 bilion (RM4.21 bilion) susulan kekurangan barangan keperluan yang mendesak, termasuk bahan api, makanan dan ubat-ubatan.
Penghantaran beras boleh membantu Colombo menurunkan harga beras yang meningkat dua kali ganda dalam setahun.
"Kerja membawa naik beras bermula di pelabuhan di bahagian selatan.
(Seorang pegawai Tentera Laut berdiri di hadapan bendera India dan Sri Lanka
ketika Kapal Pengawal Pantai India (ICGS) Shoor berada di pelabuhan Colombo, Sri Lanka semasa lawatan
ke negara itu pada 2 April 2018/FOTO REUTERS)
"Pada awalnya, kami memuatkan barangan menggunakan kontena untuk penghantaran segera dan ia akan dimasukkan dalam kapal, beberapa hari lagi," kata Pengarah Urusan Pattabhi Agro Foods, B V Krishna Rao yang membekalkan beras kepada Sri Lanka State Trading (General) Corp di bawah perjanjian kemudahan kredit India.
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara itu, berikutan protes ganas berhubung krisis ekonomi terburuk negara itu dalam beberapa dekad.- REUTERS