fb fb fb fb fb

Pangkalan tentera Perancis Djibouti bakal berperanan besar-Macron

Foto REUTERS

DJIBOUTI,21 Disember-Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat menyatakan bahawa pangkalan tentera negaranya di Djibouti mungkin akan memainkan peranan yang lebih besar, selepas Paris terpaksa menarik keluar tenteranya dari beberapa negara Afrika yang lain.

“Peranan kami di Afrika sedang berubah kerana politik di Afrika sedang berubah, kerana pendapat umum berubah, dan kerana kerajaan-kerajaan juga berubah,” katanya.

Macron berucap kepada pasukan tentera Perancis yang ditempatkan di negara berkenaan di Tanduk Afrika itu sebelum menikmati hidangan Krismas bersama mereka, satu tradisi tahunan dalam kalendar Presiden.

Menurut Macron, Perancis perlu mengubah pendekatan lama yang melibatkan terlalu banyak pangkalan tentera di Afrika.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mali, Burkina Faso, dan Niger, ketiga-tiganya kini di bawah pemerintahan tentera telah meminta Perancis untuk menarik keluar tenteranya.

Sebaliknya, negara-negara ini memilih untuk mendapatkan sokongan ketenteraan dari Rusia dalam usaha memerangi pasukan pemberontak yang aktif di rantau tersebut.

Pada Jumaat, Perancis turut memulakan pengunduran tenteranya dari Chad selepas Presidennya, N'Djamena bulan lalu secara tiba-tiba menamatkan kerjasama ketenteraan dengan bekas penjajah itu.

Chad merupakan negara terakhir di Sahel yang masih menempatkan tentera Perancis.

Keputusan Chad itu juga diambil tidak lama selepas Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye, memberitahu AFP bahawa Perancis seharusnya menutup pangkalan tenteranya di Senegal

Djibouti sebelum ini merupakan sebahagian daripada strategi IndoPasifik Perancis, menyumbang kepada kebebasan perkapalan di Laut Merah.

“Ia juga perlu direka semula sebagai titik unjuran untuk beberapa misi Afrika kami,” kata Macron, tanpa memberikan butiran lanjut.

Pangkalan tentera Perancis di Djibouti kini menempatkan 1,500 askar, menjadikannya kontinjen tentera Perancis terbesar di luar negara dan satu-satunya yang tidak terjejas oleh pengurangan ketenteraan yang dikenakan oleh negara-negara Afrika terhadap Paris.

Pada bulan Julai lalu, Djibouti dan Perancis memperbaharui perjanjian kerjasama pertahanan mereka.

Selain membayar sewa untuk pangkalan tersebut, Perancis juga bertanggungjawab untuk mengawal ruang udara negara itu.

Djibouti, sebuah negara kecil di Afrika Timur, dianggap sebagai kawasan yang relatif stabil.

Di seberang Laut Merah, Yaman masih bergelut dalam perang saudara yang dahsyat.-AFP

.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD