ISLAMABAD (Pakistan), 27 Disember - Pakistan pada Sabtu menggesa semua pihak di Yaman kembali ke meja dialog bagi menyelesaikan konflik di negara itu yang telah berlarutan lebih sedekad, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Pakistan menyatakan sokongan terhadap keamanan dan kestabilan di Yaman serta memaklumkan Islamabad mengikuti rapat perkembangan terkini di negara berkenaan.
“Pakistan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha diplomatik yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keamanan dan kestabilan di Yaman.
"Kami juga memuji usaha Emiriah Arab Bersatu dalam hal ini,” menurut kenyataan itu.
Islamabad menegaskan keperluan memelihara perpaduan dan keutuhan wilayah Yaman, selain menyuarakan harapan agar pihak berkepentingan Yaman mengelakkan sebarang langkah unilateral yang boleh meningkatkan ketegangan.
“Kami juga menyeru semua pihak di Yaman supaya terlibat secara konstruktif dan dengan niat baik ke arah penyelesaian politik yang inklusif, rundingan dan berdasarkan parameter yang telah dipersetujui,” menurut kenyataan itu.
Pakistan turut menyatakan harapan agar usaha diplomatik yang sedang dijalankan membawa kepada langkah konkrit ke arah keamanan berkekalan serta membantu menamatkan penderitaan rakyat Yaman.
Sejak 3 Dis, pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) telah menguasai beberapa kawasan di wilayah timur Yaman, Hadramout.
Empat hari kemudian, pasukan STC meluaskan penguasaan ke satu lagi wilayah timur, Mahra.
Sebuah pasukan ketenteraan bersama Arab Saudi–Emiriah Arab Bersatu dihantar ke Aden, selatan Yaman bagi mengatur langkah bersama STC untuk memastikan pasukan berkenaan kembali ke kedudukan asal mereka di luar kedua-dua wilayah itu.
Pengambilalihan berkenaan mencetuskan gesaan yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan serantau agar pasukan STC berundur dari Hadramout dan Mahra, yang bersama-sama meliputi hampir separuh keluasan wilayah Yaman, kira-kira 555,000 kilometer persegi.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan yang berterusan boleh membawa akibat serius terhadap Yaman, yang kini berdepan krisis kemanusiaan dan ekonomi.- BERNAMA-ANADOLU