fb fb fb fb fb

Operasi Lapangan Terbang Beirut dibatalkan susulan kebimbangan serangan Israel

Semua pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut ditangguhkan atau dibatalkan susulan kemungkinan serangan Israel ke atas Lubnan / Foto Reuters

ISTANBUL, 29 Julai - Semua pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut ditangguhkan atau dibatalkan susulan kemungkinan serangan Israel ke atas Lubnan.

Lufthansa pada Isnin berkata ia telah menggantung lima laluan ke dan dari Beirut oleh syarikat penerbangan kumpulan itu, Swiss International Air Lines, Eurowings dan Lufthansa, sehingga dan termasuk 30 Julai.

Papan maklumat penerbangan Lapangan Terbang Beirut dan laman web penjejakan penerbangan, Flightradar24 menunjukkan Turkish Airlines turut membatalkan dua penerbangan semalaman pada Ahad.

Syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Turki, SunExpress, anak syarikat Turkish Airlines AJet, syarikat penerbangan Greece Aegean Airlines, Ethiopian Airdan MEA juga telah membatalkan penerbangan yang dijadualkan mendarat di Beirut pada Isnin.

Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri merupakan satu-satunya lapangan terbang di Lubnan. Ia telah menjadi sasaran dalam perang saudara di negara itu dan pertempuran sebelumnya dengan Israel, termasuk dalam perang terakhir antara Hezbollah dan Israel pada tahun 2006.

Ketegangan semakin meningkat selepas tentera Israel pada Ahad membentangkan senario kepada kerajaannya mengenai kemungkinan serangan ke atas kumpulan Hezbollah berikutan serangan roket yang membunuh 12 orang di Bukit Golan yang diduduki Israel, menurut laporan media antarabangsa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN