fb fb fb fb fb

Nestle rancang kurangkan 16,000 pekerja dalam tempoh dua tahun

Foto AFP

ZURICH, 16 Oktober -Nestle mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 16,000 pekerjaan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Langkah itu dalam usaha penstrukturan semula yang menyaksikan harga sahamnya melonjak lebih lapan peratus pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu Nestle, Philipp Navratil, berkata perubahan drastik diperlukan bagi memastikan syarikat kekal kompetitif.

"Dunia sedang berubah, dan Nestle perlu berubah dengan lebih pantas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan langkah mengurangkan tenaga kerja sebagai keputusan yang "sukar tetapi perlu."

Saham Nestle melonjak lebih lapan peratus dalam dagangan pagi, menjadikan pasaran saham Zurich sebagai yang terbaik di Eropah pada hari tersebut.

Pengumuman itu dibuat serentak dengan laporan kewangan sembilan bulan pertama 2025, yang menunjukkan penurunan jualan sebanyak 1.9 peratus kepada 65.9 bilion franc Swiss (AS$83 bilion).

Pemotongan tersebut mewakili kira-kira enam peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Nestle.

Daripada jumlah itu, 12,000 melibatkan jawatan pengurusan dan profesional, yang dijangka menjimatkan satu bilion franc Swiss, dua kali ganda daripada sasaran asal.

Sementara itu, 4,000 lagi pekerjaan dalam sektor pengeluaran dan rantaian bekalan sedang dalam proses pengurangan.

Navratil turut mengumumkan peningkatan sasaran penjimatan syarikat kepada tiga bilion franc Swiss menjelang akhir 2027, berbanding sasaran terdahulu iaitu 2.5 bilion.

Penganalisis pelaburan antarabangsa dari firma Vontobel, Jean-Philippe Bertschy, menyatakan bahawa mesej Navratil jelas menunjukkan beliau sedang “mengambil langkah ofensif,” dan menyifatkan tindakan awal yang diambil sebagai langkah ke arah yang betul.

Nestlé, yang memiliki lebih 2,000 jenama termasuk Nespresso, Perrier, KitKat, Maggi dan makanan haiwan Purina, turut berdepan cabaran besar kebelakangan ini.

September lalu, syarikat itu mengalami pergolakan kepimpinan susulan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif sebelumnya akibat hubungan peribadi di tempat kerja, diikuti pengunduran awal pengerusi syarikat.

Nestle juga terpalit dalam skandal berkaitan jenama air botolannya di Perancis pada 2024. - AFP

TETITIA YUSOFF