GENEVA, 16 April β Negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya mencapai persetujuan mengenai satu perjanjian penting dalam usaha menangani pandemik masa depan.
Rundingan yang berlangsung lebih tiga tahun itu berakhir kira-kira pukul 2.00 pagi waktu tempatan di ibu pejabat WHO di Geneva.
"Ini merupakan detik penting dalam usaha bersama kita menuju dunia yang lebih selamat," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
"Hari ini, negara-negara dunia telah mencipta sejarah di Geneva", katanya.
Lima tahun selepas pandemik COVID-19 meragut jutaan nyawa dan melumpuhkan ekonomi global, rundingan ini dijalankan dalam suasana mendesak, dengan ancaman baharu kesihatan seperti selesema burung H5N1, campak, mpox dan Ebola terus membayangi komuniti global.
Fasa akhir rundingan turut berlangsung dalam keadaan penuh ketidaktentuan susulan pemotongan belanjawan bantuan asing Amerika Syarikat dan ancaman tarif ke atas produk farmaseutikal.
Sehingga saat-saat terakhir, beberapa isu utama masih menjadi pertikaian, termasuk Perkara 11 perjanjian yang menyentuh tentang pemindahan teknologi kesihatan kepada negara membangun untuk mempersiapkan mereka menghadapi pandemik.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, perjanjian ini dianggap satu pencapaian bersejarah ke arah persediaan lebih baik untuk dunia berdepan pandemik akan datang.
Teras kepada perjanjian ini ialah cadangan untuk mewujudkan sistem 'Pathogen Access and Benefit-Sharing (PABS)', sebuah mekanisme yang membolehkan perkongsian data patogen secara pantas dengan syarikat farmaseutikal, sekali gus mempercepatkan pembangunan produk kesihatan ketika wabak.
Keseluruhan dokumen sepanjang 32 muka surat itu akhirnya ditandakan hijau, menunjukkan semua bahagian telah diluluskan sebulat suara oleh negara anggota WHO.
βIa telah diterima,β umum Pengerusi Bersama rundingan, Anne-Claire Amprou, disambut dengan tepukan gemuruh para delegasi.
Melalui perjanjian bersejarah ini, negara-negara dunia telah membuktikan komitmen bersama untuk melindungi semua orang, di mana sahaja, daripada ancaman pandemik akan datang.
Teks akhir perjanjian ini akan dibentangkan secara rasmi untuk pengesahan dalam Perhimpunan Tahunan WHO bulan depan.-AFP