fb fb fb fb fb

Mesir latih ratusan polis Palestin, bina pasukan keselamatan pascaperang

Foto AFP

GAZA CITY, 30 November - Mesir sedang melatih ratusan anggota polis Palestin, dengan tujuan mengintegrasikan mereka ke dalam pasukan keselamatan pascaperang di Gaza.

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty mengumumkan rancangan untuk melatih 5,000 pegawai polis bagi Gaza semasa perbincangan dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa pada Ogos.

Menurut seorang pegawai Palestin, kumpulan pertama yang terdiri daripada lebih 500 pegawai telah menjalani latihan di Kaherah pada Mac dan sejak September, kursus selama dua bulan itu disambung melibatkan ratusan lagi peserta.

Anggota pasukan tersebut dipilih dalam kalangan penduduk Gaza dan dibayar oleh Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Ramallah, Tebing Barat.

"Saya sangat berpuas hati dengan latihan ini. Kami mahukan pengakhiran perang dan pencerobohan secara kekal dan kami bersemangat untuk berkhidmat kepada negara serta rakyat kami," kata seorang pegawai polis Palestin berusia 26 tahun.

Beliau berharap pasukan keselamatan itu akan menjadi bebas dan setia hanya kepada Palestin serta tidak terikat kepada pakatan atau agenda luar.

"Kami menerima latihan operasi yang cemerlang dengan peralatan moden untuk pemantauan sempadan," kata seorang lagi pegawai polis Palestin.

Pegawai berpangkat Leftenan itu berkata, latihan tersebut memberi tumpuan kepada kesan serangan Israel pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang dengan Hamas.

Latihan itu turut menekankan peranan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai wakil sah tunggal rakyat Palestin dan menegaskan kepentingan melindungi impian untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka sepenuhnya.

Seorang pegawai keselamatan kanan daripada Pihak Berkuasa Palestin mengesahkan Presiden Mahmud Abbas telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Ziad Hab al-Reeh untuk menyelaras dengan Mesir mengenai latihan tersebut.

Dalam perbincangan yang ditaja Mesir akhir tahun lalu, gerakan-gerakan Palestin - termasuk dua kumpulan utama, Hamas dan Fatah pimpinan Abbas bersetuju untuk mewujudkan pasukan yang terdiri daripada kira-kira 10,000 anggota polis.

Mesir akan melatih separuh daripada jumlah itu, manakala 5,000 lagi melibatkan anggota pasukan polis Gaza yang berada bawah kawalan Hamas sejak tahun 2007.

Bawah perjanjian berkenaan, pasukan keselamatan tersebut akan diselia oleh sebuah jawatankuasa teknokrat yang diluluskan oleh gerakan-gerakan Palestin. -AFP

MASNIZA AWANG KECHIK