fb fb fb fb fb

Mediterranean kekal laluan maut untuk kanak-kanak migran - UNICEF

Foto AFP

ROME, 15 April - Kira-kira 3,500 kanak-kanak migran dilaporkan maut atau hilang dalam tempoh sedekad semasa cuba menyeberangi Laut Mediterranean ke Itali, menurut anggaran terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), bersamaan seorang kanak-kanak setiap hari.

UNICEF memberi amaran, angka sebenar mungkin lebih tinggi, dengan laluan Mediterranean Tengah dari Afrika Utara ke Itali kekal sebagai laluan paling berbahaya, mencatat hampir 22,000 kematian atau kehilangan sejak 2014.

Satu daripada enam migran ialah kanak-kanak, majoritinya bersendirian.

Lapan daripada 10 kanak-kanak mengalami eksploitasi termasuk keganasan, penderaan seksual, buruh paksa dan penahanan.

Agensi itu turut mengingatkan tragedi 18 April 2015 yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa, dan menyatakan sejak itu, ribuan kanak-kanak terus terkorban.

Kerajaan Itali pimpinan Perdana Menteri, Giorgia Meloni kekal tegas mengurangkan migrasi tidak sah menerusi perjanjian dengan Tunisia dan Libya bagi menyekat keberangkatan migran.

Sehingga 14 April, seramai 11,805 migran tiba di Itali, termasuk 1,588 kanak-kanak tanpa pengiring.

Jumlah kanak-kanak tanpa pengiring pada 2024 ialah 8,043, menurun daripada 18,820 tahun lalu.

UNICEF menggesa penamatan penahanan terhadap kanak-kanak migran dan menekankan pentingnya mengekalkan keluarga bersama selepas ketibaan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN