fb fb fb fb fb

EU dan Britain umum bantuan tambahan untuk Sudan

Foto Reuters

LONDON, 15 April - Kesatuan Eropah (EU) dan Britain mengumumkan peningkatan bantuan kemanusiaan kepada Sudan dalam satu persidangan antarabangsa di London, sempena ulang tahun kedua konflik yang telah menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Persidangan yang dianjurkan bersama Britain, EU, Kesatuan Afrika, Perancis dan Jerman itu bertujuan memperkukuh koordinasi antarabangsa terhadap krisis yang berpunca daripada perebutan kuasa antara Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sejak April 2023.

Konflik telah menyebabkan puluhan ribu kematian, kemusnahan besar di wilayah seperti Darfur, dan penglibatan kuasa asing.

EU dan negara anggotanya menjanjikan lebih 522 juta euro (AS$592 juta), manakala Britain mengumumkan bantuan tambahan sebanyak 120 juta paun (AS$158 juta).

Setiausaha Luar Britain, David Lammy, menyeru pendekatan diplomasi berterusan dan menegaskan keperluan menghentikan keganasan serta membenarkan kemasukan bantuan.

Namun, Sudan mengkritik persidangan itu kerana tidak dijemput, serta mengecam kehadiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kenya.

Sudan menuduh UAE membekalkan senjata kepada RSF dan membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, namun UAE menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa rogol digunakan sebagai senjata perang, dan menyatakan bahawa 30 juta rakyat Sudan memerlukan bantuan, dengan lebih 12 juta telah dipindahkan.

Menteri Luar Jerman menyifatkan krisis itu sebagai “bencana kemanusiaan terbesar zaman ini”.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam yang mewakili mangsa turut menyerahkan bukti jenayah perang oleh RSF kepada pihak berkuasa UK untuk disalurkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN