SEOUL, 3 Januari-Media rasmi Korea Utara pada Jumaat melaporkan bahawa Korea Selatan sedang mengalami kekacauan politik susulan usaha penyiasat untuk melaksanakan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol yang telah dipecat.
Laporan dari Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menyebut situasi politik di Korea Selatan kini lumpuh, namun tiada kenyataan rasmi disertakan dalam laporan tersebut.
Yoon sebelum ini mengisytiharkan undang-undang tentera pada bulan lalu yang berakhir dalam tempoh singkat, menyebabkan beliau dipecat dan kini berdepan kemungkinan ditangkap, dipenjarakan, atau hukuman mati.
Penyiasat memasuki kediaman Suk Yeol pada pagi Jumaat untuk melaksanakan waran tangkap, tetapi berlaku kebuntuan dengan pasukan keselamatan beliau.
“Di Korea Selatan yang merupakan boneka, pemecatan presiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah terjadi susulan insiden undang-undang tentera pada 3 Disember,” lapor KCNA.
“Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Presiden, melumpuhkan urusan pentadbiran negara dan mengakibatkan kekacauan sosial serta politik,” tambah laporan itu.
Media Korea Utara sering merujuk pemimpin dan institusi Korea Selatan sebagai "boneka" kepada sekutu keselamatan utamanya, Amerika Syarikat.
“Media asing mengkritik bahawa Korea Selatan semakin terjerumus ke dalam badai politik,” tambah KCNA lagi.
Laporan itu turut diterbitkan dalam akhbar Rodong Sinmun di Korea Utara, yang menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap bertujuan menonjolkan kestabilan kerajaan Korea Utara berbanding kekacauan di Selatan.
Pyongyang tidak mengulas mengenai pengisytiharan undang-undang tentera Yoon pada 3 Disember sehingga seminggu selepas ia gagal.
Terdahulu,hubungan antara kedua-dua Korea berada pada tahap terendah dalam beberapa tahun, dengan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik secara berleluasa tahun lalu, melanggar sekatan PBB.
Korea Utara juga telah menghantar belon yang membawa sampah ke Selatan sejak Mei lalu, sebagai tindak balas terhadap risalah propaganda anti-Pyongyang yang dihantar ke utara oleh aktivis.-AFP.