LOS ANGELES, 1 Ogos- Pasukan pegawai menyamar sebagai individu yang ingin mendapatkan perkhidmatan seks berjaya menyelamatkan 10 mangsa pemerdagangan manusia, termasuk seorang gadis berusia 16 tahun, kata pendakwa raya Rabu.
Pasukan pegawai berkenaan melibatkan polis tempatan San Diego, pegawai persekutuan dan perisikan tentera laut menahan 14 individu yang cuba mendapatkan perkhidmatan seks pada perhimpunan budaya pop Comic-Con.
10 mangsa telah diselamatkan merupakan sembilan orang dewasa termasuk seorang remaja berusia 16 tahun, kata Peguam Negara California Rob Bonta.
"Malangnya, individu yang mengeksploitasi seksual ini memanfaatkan acara berskala besar seperti Comic-Con untuk meraih keuntungan semata-mata," kata Bonta, dalam satu kenyataan.
San Diego Comic-Con merupakan salah satu acara budaya pop terbesar di dunia.
Ia disertai kira-kira 135,000 peserta yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad.
"Kami mengambil kira operasi yang dilakukan ini sebagai menggangu kelancaran acara kerana kami tidak dimaklumkan berkenaan operasi yang dijalankan. Pemahaman kami, penahanan itu akan dibuat di luar acara," kata jurucakap Comic-Con dalam satu kenyataan kepada AFP.
"Bagaimanapun kami bekerjasama rapat dengan pelbagai entiti penguatkuasa undang-undang sepanjang tahun dan bersedia untuk membantu," katanya lagi.
Pada asalnya acara itu adalah untuk bertemu peminat buku komik. Namun acara Comic-Con dilihat semakin mendapat tempat selain membuka peluang kepada syarikat gergasi Hollywood dalam perfileman dan pelakon kelas A untuk melancarkan filem dan rancangan televisyen terbaru.
Sementara itu pemangku ejen khas Christopher Davis bertanggungjawab bagi Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri di San Diego berkata, "acara tumpuan" seperti Comic-Con sering dijadikan "peluang untuk menjadikan kanak-kanak bawah umur sebagai mangsa pemerdagangan manusia."
"Kami bekerjasama, pasukan mengenal pasti dan menahan lebih daripada 10 individu yang mengambil bahagian dalam eksploitasi haram in pada hujung minggu," kata Ketua Polis San Diego, Scott Wahl.
Anggota penguatkuasa undang-undang menggunakan helah penyamaran dengan menyamar sebagai individu yang ingin mendapatkan perkhidmatan seks sebelum menumpaskan individu terlibat dalam pemerdagangan manusia.- AFP