fb fb fb fb fb

Maldives sahkan tiada ancaman segera terhadap maritim susulan insiden kapal karam

Kapal MSC ELSA 3 karam pada Ahad dan semua anak kapal berjaya diselamatkan/Foto media sosial

NEW DELHI, 26 Mei - Maldives tidak melihat sebarang ancaman segera terhadap alam sekitar marin negara itu susulan insiden kapal kargo karam di perairan Kerala, India, menurut Angkatan Pertahanan Negara Maldives (MNDF) pada Isnin.

Menurut MNDF, keadaan sedang dipantau rapi berikutan kejadian kapal MSC ELSA 3 karam pada Ahad. Kapal tersebut membawa 640 kontena - termasuk 13 kontena berisi bahan berbahaya dan 12 kontena mengandungi kalsium karbida.

Kapal itu turut menempatkan 84 tan diesel dan 367 tan minyak relau dalam tangkinya.

Pengawal Pantai MNDF sedang memantau rapat insiden membabitkan kapal MSC ELSA 3 yang berdaftar di Liberia dan karam di perairan Kerala. Memandangkan arus tenggara semasa dan keadaan cuaca, risiko kesan tumpahan sampai ke perairan Maldives kekal rendah, menurut kenyataan MNDF di platform X.

Pihak berkuasa India belum mengesahkan punca kejadian.

Kapal sepanjang 184 meter itu sedang dalam pelayaran dari pelabuhan Vizhinjam ke Kochi apabila ia karam di Laut Arab, kira-kira 38 batu nautika (70 kilometer) ke barat daya Kochi.

Kesemua 24 anak kapalnya berjaya diselamatkan oleh pasukan pengawal pantai dan tentera laut India. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN