BEIRUT, 24 November – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam serangan udara oleh rejim Israel di Haret Hreik di Lubnan pada Ahad.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, identiti mangsa yang terkorban masih belum dikenal pasti.
Rejim Israel mengesahkan tenteranya melancarkan serangan itu kononnya menyasarkan Ketua Staf Hezbollah di Beirut.
"Serangan itu mengenai sebuah bangunan apartmen yang juga merupakan kawasan padat penduduk di selatan Beirut," menurut kenyataan pihak berkuasa di sini.
Hezbollah mengesahkan bahawa seorang komander kanan mereka menjadi sasaran, manakala jurucakap Israel enggan mendedahkan nama individu terbabit buat masa ini.
Beberapa ambulans dan pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian.
Tentera Lubnan turut dikerah bagi mengawal situasi.
Sementara itu, Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan bahawa tiga peluru berpandu dilepaskan ke arah bangunan tersebut. -AFP