fb fb fb fb fb

Lima aktivis dalam senarai orang dikehendaki

Polis berkawal di luar mahkamah Majistret Kowloon Barat di Hong Kong/Foto fail REUTERS

HONG KONG, 15 Disember- Polis Hong Kong menambah lima lagi aktivis yang berpangkalan di luar negara ke dalam senarai orang yang dikehendaki.

Polis turut menawarkan habuan untuk maklumat yang membawa kepada penahanan mereka dalam tindakan keras berterusan terhadap perbezaan pendapat di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikenakan China.

Tindakan itu, mencetuskan kritikan daripada kerajaan di A.S. dan UK.

Lima orang dikehendaki itu ialah Simon Cheng, Frances Hui, Joey Siu, Johnny Fok dan Tony Choi, yang kini berpangkalan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan Britain.

"Kesemua mereka melarikan diri ke luar negara kerana melakukan kesalahan bawah undang-undang keselamatan negara yang membahayakan keselamatan negara secara serius," kata pegawai di jabatan keselamatan negara polis Hong Kong, Steve Li, kepada pemberita.

Kelima-lima mereka dituduh melakukan pelbagai kesalahan bawah undang-undang, termasuk hasutan untuk memisahkan diri dan subversif, serta pakatan sulit dengan negara asing atau kuasa luar.

Polis mengeluarkan notis dikehendaki dan ganjaran sebanyak HK$1 juta ($128,000) untuk setiap lima individu terbabit.

Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas hab kewangan Asia pada 2020 selepas protes anti-kerajaan selama berbulan-bulan.

Undang-undang itu menghukum perbuatan pakatan sulit dengan kuasa asing, dan keganasan. Ia boleh menyebabkan hukuman penjara seumur hidup.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI