KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pasukan Polis Singapura (SPF) menahan seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun selepas satu objek mencurigakan ditemukan di dalam kawasan Gereja St Joseph di Bukit Timah, Singapura pada Ahad.
SPF dalam hantaran Facebook memaklumkan, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan bawah Peraturan 8(2)(a) Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Langkah-langkah Antikeganasan) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.
Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar 7.10 pagi, sebelum anggota digerakkan ke gereja yang terletak di Upper Bukit Timah Road.
"Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mendakwa menemui objek mencurigakan di dalam longkang di kawasan premis berkenaan dan berada di lokasi kejadian sambil memegang objek tersebut.
"Demi keselamatan awam, Polis mengawal kawasan dan mengosongkan premis. Polis turut mengaktifkan Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Angkatan Tentera Singapura bagi menjalankan penilaian lanjut," menurut hantaran itu.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kawalan keselamatan di lokasi ditarik semula kira-kira 5.15 petang. Tiada kecederaan dilaporkan.