KIEV, 5 Mei- Lebih 300 warga Ukraine telah dipindahkan dari bandar Mariupol yang dilanda bencana pada hari Rabu ketika Presiden, Volodymyr Zelensky meminta PBB membantu menyelamatkan mangsa yang cedera terperangkap di bawah loji besi Azovstal di bandar Mariupol.
Dalam ucapannya Zelensky berkata seramai 344 orang telah dipindahkan dari Mariupol serta kawasan berhampiran dan menuju ke barat laut ke bandar Zaporizhzhia, yang dikawal oleh Kiev.
Tetapi pada awal hari itu, beliau juga merayu kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk membantu menyelamatkan mangsa yang cedera yang masih berlindung di loji itu.
"Nyawa orang yang tinggal di sana dalam bahaya," kata Zelensky kepada Guterres melalui telefon.
Dalam satu kenyataan, Palang Merah berkata lega bahawa lebih banyak nyawa telah terselamat dan menggesa usaha diperbaharui untuk meneruskan pemindahan dari wilayah itu berdasarkan penderitaan besar orang awam.
Sementara itu, pertempuran sengit dengan tentera Rusia terus berlaku di loji Azovstal, di mana askar Ukraine telah bersembunyi selama berminggu-minggu.
Moscow bagaimanapun menafikan sebarang serangan ke atas loji itu berlaku dan memberitahu pasukannya akan menghentikan tembakan bagi membuka koridor kemanusiaan untuk orang awam selama tiga hari mulai hari ini.
Kementerian Pertahanannya, berkata tentera bersenjata Russia dari jam 8 pagi hingga 6 petang pada 5, 6 dan 7 Mei, akan membuka pintu kemanusiaan dari loji logam di wilayah Azovstal, bagi memindahkan orang awam.
Dalam kenyataannya, orang awam yang berlindung di loji itu dibenarkan pergi ke Russia atau wilayah di bawah penguasaan Kyiv.
Zelensky dalam perbualannya dengan Guterres, berkata pemindahan minggu ini menunjukkan dunia bahawa organisasi antarabangsa mampu menjadi efektif.
Beliau menzahirkan harapan supaya operasi pemindahan yang berjaya dapat diteruskan. - AFP
(Foto dirakamkan pada 29 April 2022 menunjukkan asap di loji besi Azovstal di bandar Mariupol / AFP)