fb fb fb fb fb

Lebih 30 maut bersesak-sesak ketika edaran makanan di Nigeria

Salah seorang mangsa rempuhan yang menunggu dalam kawasan Gereja Katolik Holy Trinity, Maitama, dengan balutan dan lebam di wajahnya/AFP

LAGOS, 22 Disember- Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh akibat rempuhan orang ramai yang bersesak-sesak di dua pusat pengedaran makanan di Nigeria pada Sabtu lalu.

Kejadian pertama berlaku di bandar Okija, selatan Nigeria, meragut 22 nyawa selepas orang ramai yang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan terperangkap dalam rempuhan.

Kejadian kedua di Abuja, ibu negara menyaksikan 10 orang terbunuh termasuk empat kanak-kanak ketika orang ramai bersesak-sesak di luar sebuah gereja yang memberi makanan kepada golongan rentan dan warga emas.

Presiden Bola Tinubu meluahkan rasa dukacita atas kejadian itu dan mengarahkan pembatalan semua acara rasmi beliau di sini sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.

"Saya turut merasai kesedihan bersama rakyat yang sedang berkabung atas kehilangan orang tersayang. Doa saya agar mereka diberikan ketenangan dan kesembuhan," kata Tinubu dalam kenyataan rasmi.

Rempuhan orang ramai itu berlaku dalam situasi negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang serius, dengan inflasi terus melonjak, mendorong ramai rakyat untuk bergantung pada pengedaran bantuan makanan.

Pihak berkuasa menyeru agar langkah-langkah keselamatan lebih ketat dan kawalan orang ramai diambil bagi mencegah kejadian serupa pada masa hadapan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA