fb fb fb fb fb

Lebih 2,000 maut di India akibat banjir, hujan sejak April

(Banjir di India/AFP)

NEW DELHI, 19 Ogos- Banjir, tanah runtuh dan kejadian lain berkaitan hujan telah menyebabkan lebih daripada 2,000 orang terbunuh di India pada musim monsun ini, menurut data rasmi.

Negeri Bihar merekodkan angka kematian tertinggi dalam kalangan semua negeri, diikuti 330 kematian di Himachal Pradesh dan 165 di negeri Gujerat dalam tempoh kira-kira empat bulan.

Menurut data Kementerian Dalam Negeri yang dipetik Agensi Berita PTI, sebanyak 892 orang mati lemas di seluruh negara akibat banjir, 506 orang maut akibat kilat manakala 186 orang maut akibat tanah runtuh dari 1 April hingga 17 Ogos.

Sebab-sebab lain yang berkaitan menyebabkan 454 kematian.

Hujan lebat juga menyebabkan kekacauan di Himachal Pradesh, Uttarakhand, Haryana, Punjab dan barat Uttar Pradesh pada Jun dan Julai.

Himachal Pradesh dan Uttarakhand sedang berdepan dengan gelombang hujan lebat yang lain, mengorbankan berpuluh-puluh orang dan memusnahkan jalan, jambatan, tanaman dan rumah dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Anggaran kerugian kewangan di Himachal Pradesh sahaja adalah sekitar US$1.2 bilion.- BERNAMA


(Foto fail/AFP)

Media Baharu