fb fb fb fb fb

Lebih 120 terbunuh dalam serangan bom di Sudan

(Arkib) Konflik berterusan antara tentera Sudan dan RSF berpunca pertikaian mengenai reformasi tentera, telah merosakkan infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan negara. Foto oleh Anadolu pada Ahad, 12 Januari, menunjukkan kemusnahan yang berlaku di ibu kota Khartoum/Reuters

PORT SUDAN, 14 Januari- Serangan bom di bandar Omdurman yang terletak bersebelahan dengan ibu kota Khartoum di seberang Sungai Nil mengakibatkan ratusan orang terbunuh, lapor pasukan penyelamat sukarela Sudan.

"Serangan bom secara rawak pada Isnin di barat Omdurman mengorbankan 120 orang awam," menurut Pusat Tindak Balas Kecemasan Ombada.

Angka itu adalah anggaran awal dan pihak berkenaan juga tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Ia juga melaporkan bekalan perubatan sangat terhad dengan petugas kesihatan berusaha keras merawat "jumlah besar mangsa yang cedera dengan pelbagai tahap kecederaan."

Pertempuran antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas lebih 20 bulan perang di Sudan.

Puluhan ribu orang telah terbunuh dalam perang yang telah membawa negara itu ke ambang kebuluran, menurut agensi bantuan.

Tentera dan RSF kedua-duanya dituduh menyasarkan orang awam termasuk petugas kesihatan serta melakukan serangan bom secara sembarangan ke kawasan kediaman.

Kebanyakan kawasan Omdurman berada bawah kawalan tentera manakala RSF menguasai ibu kota dan sebahagian besar kawasan Khartoum. -AFP

SITI AISHAH MD ISA