WASHINGTON, 22 Disember- Dua orang juruterbang pesawat pejuang milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilaporkan tertembak di Laut Merah awal pagi tadi dalam insiden disifatkan sebagai 'friendly fire', istilah yang merujuk kepada tembakan tidak sengaja oleh pasukan sendiri.
Kedua-dua juruterbang berjaya diselamatkan namun seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan berdasarkan penilaian awal, kata Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam kenyataan.
"Kejadian ini bukan berpunca daripada tembakan musuh dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan," menurut CENTCOM.
Insiden berlaku apabila kapal penjelajah peluru berpandu USS Gettysburg secara tidak sengaja menembak dan mengenai pesawat pejuang F/A-18 yang diterbangkan daripada kapal induk USS Harry S. Truman.
Kesilapan itu menonjolkan risiko operasi Amerika Syarikat di kawasan berkenaan yang berlangsung lebih setahun sejak kumpulan Huthi dari Yaman mula mensasarkan kapal dagang di Laut Merah dan Teluk Aden yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Semalam, Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas sasaran di Sanaa, ibu negara Yaman yang dikuasai Huthi, beberapa jam selepas peluru berpandu Huthi menyasarkan Tel Aviv, Israel dan mencederakan beberapa orang. -AFP