fb fb fb fb fb

Lapan pendatang mati lemas ketika menyeberangi sungai Rio Grande

(Migran menyeberangi sungai Rio Grande untuk ke Amerika Syarikat / REUTERS)

WASHINGTON, 3 September- Sekurang-kurangnya lapan pendatang mati lemas dan berpuluh-puluh yang lain diselamatkan selepas cuba menyeberangi sungai Rio Grande dari Mexico ke Amerika Syarikat.

Peronda Kastam dan Sempadan (CBP) AS berkata dalam satu kenyataan kepada AFP bahawa kejadian berlaku pada Khamis, apabila sekumpulan besar pendatang cuba menyeberangi Rio Grande berhampiran Eagle Pass, Texas.

37 orang telah diselamatkan, kata CBP, tetapi sebahagian daripada misi menyelamat juga membawa kepada penemuan lapan pendatang yang mati, dua ditemui oleh Kerajaan Mexico dan enam oleh ejen (AS).

Seramai 92 pendatang telah ditahan dalam kumpulan itu, 39 ditahan pihak berkuasa Mexico dan 53 yang berjaya meyeberangi sungai diselamatkan oleh ejen AS, kata CBP.

Tiada maklumat diberikan tentang umur atau kewarganegaraan pendatang.

"Pencarian diteruskan untuk mencari mangsa lain yang mungkin masih hilang," tambah CBP.

Seorang pegawai CBP memberitahu Washington Post bahawa kejadian tersebut adalah yang paling teruk dalam beberapa tahun di sepanjang Rio Grande.

Eagle Pass terletak dalam wilayah Del Rio CBP, di mana hampir 50,000 pendatang telah ditangkap bulan lalu, menurut data kerajaan.

Ketua bomba bandar itu, Manuel Mello, memberitahu New York Times bahawa para pendatang telah dihanyutkan oleh arus deras kira-kira satu batu ke selatan International Bridge yang menghubungkan Eagle Pass dengan Piedras Negras, Mexico.

Mello menyatakan bahawa kejadian lemas dan telah menjadi kerap di kawasan itu, dengan purata satu kematian sehari.

Kematian migran yang ramai baru-baru ini telah membuktikan betapa bahanya perjalanan yang dilakukan ratusan ribu pendatang setiap tahun untuk sampai ke Amerika Syarikat dari Mexico.

Pada bulan Jun, lebih 50 orang maut selepas ditinggalkan dalam treler ketika cuaca panas terik di San Antonio, Texas. -AFP


(Pendatang menyeberangi Sungai Rio Grande dari Mexico ke Amerika Syarikat / REUTERS)

Media Baharu