SYDNEY, 24 Oktober- Kerajaan Australia sedang menyemak permohonan kecemasan yang difailkan oleh kumpulan orang asli yang ingin menyekat pembinaan saluran paip untuk projek gas Barossa bernilai $3.6 bilion milik Santos Ltd di luar utara Australia.
Enam orang asli di Kepulauan Tiwi telah menggesa Menteri Alam Sekitar Tanya Plibersek untuk membuat pengisytiharan untuk melindungi warisan mereka kerana ia berisiko dicemari daripada pembinaan saluran paip itu.
"Permohonan dipertimbangkan segera dan mempunyai keperluan penilaian berbeza," kata jurucakap jabatan alam sekitar dalam e-mel. "Jabatan sedang mempertimbang permohonan kecemasan jangka pendek."
Santos menyasarkan untuk mengeluarkan gas dari Barossa pada separuh pertama 2025, namun tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Bagaimanapun dalam kemas kini suku tahunan dikeluarkan minggu lalu, seorang pakar bebas berkata saluran paip Barossa yang dirancang tidak menggangu kawasan warisan budaya komuniti itu.
Tetapi menurut orang Tiwi, saluran paip itu akan menyebabkan kerosakan besar kepada tanah perkuburan purba, seni orang asli dan tapak suci yang lain.
"Ini akan memberi kesan kerohanian kita dan memusnahkan kesihatan kita, rumah kita dan kehidupan kita," kata Molly Munkara dalam satu kenyataan.
Santos dimaklumkan mengenai kebimbangan orang orang asli namun syarikat itu mempunyai rancangan untuk memulakan pembinaan saluran paip tidak lama lagi, kata kumpulan itu.
Sekiranya kerajaan memberikan perlindungan segera kepada kawasan itu, Santos mungkin terpaksa menghentikan rancangannya.
Keputusan masyarakat Tiwi untuk mendapatkan campur tangan kerajaan boleh menimbulkan halangan pelaksanaan projek itu selepas pengawal selia luar pesisir pada Januari mengarahkan Santos menilai risiko alam sekitar terhadap warisan budaya orang asli kawasan itu sebelum memulakan kerja saluran paip.
Perintah itu tidak melarang permulaan kerja pada pemasangan saluran paip, tetapi pengawal selia menjangka Santos tidak akan memulakan apa-apa kerja yang mungkin mengakibatkan kesan yang "belum dikenal pasti, dinilai dan diuruskan dengan secukupnya." -REUTERS