NEW DELHI, 24 Oktober - New Delhi merekodkan peningkatan jumlah pesakit di unit kecemasan hospital, menurut seorang pakar kesihatan tempatan pada Jumaat, susulan kualiti udara yang kekal pada tahap berbahaya selepas sambutan perayaan Diwali.
Menjelang petang Jumaat, Indeks Kualiti Udara (AQI) di bandar itu mencecah 193, menurut platform pemantauan udara Switzerland, IQAir, meletakkan beberapa kawasan berada pada kategori “sangat buruk”.
Pakar kesihatan Dr Randeep Guleria, yang juga bekas Pengarah All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), berkata terdapat peningkatan kes gangguan pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak warga emas dan individu yang mempunyai penyakit.
Masalah pencemaran udara di Delhi, khususnya pada musim sejuk, banyak dikaitkan dengan aktiviti pembakaran sisa tanaman di negeri-negeri berhampiran. Petani lazimnya membakar jerami selepas musim menuai bagi membersihkan ladang untuk tanaman seterusnya.
Asap daripada aktiviti pertanian dan pencemaran serta keadaan udara musim sejuk menghasilkan kabut toksik tebal yang menyelubungi bandar, menjadikan New Delhi antara ibu kota paling tercemar di dunia.
“Banyak kilang turut mengeluarkan asap, namun tiada siapa yang mempersoalkan sama ada kilang-kilang itu mencemarkan alam sekitar. Semua hanya menyalahkan petani kerana dianggap punca kepada pencemaran asap,” kata seorang petani dari Punjab, Harbinder Sinh.
Negara jiran iaitu Pakistan, turut menghadapi masalah pencemaran udara yang sama pada waktu ini setiap tahun.-REUTERS