MOSCOW, 18 November- Kremlin pada Isnin memberi amaran bahawa sebarang keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan Ukraine melancarkan peluru berpandu buatan Amerika, jauh ke dalam wilayah Rusia akan dianggap sebagai penglibatan langsung Washington dalam konflik tersebut.
Kremlin turut menuduh pentadbiran Presiden Joe Biden sengaja meningkatkan ketegangan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata Rusia telah berkali-kali memberitahu Barat bahawa langkah sebegitu akan meningkatkan risiko konfrontasi dengan NATO, yang diketuai AS.
Peskov menjelaskan perkara itu menerusi sumber tidak rasmi dan hanya berpandukan laporan New York Times dan Reuters.
"Jika keputusan seperti itu benar-benar dibuat dan disampaikan kepada rejim Kiev, ini adalah pusingan baru yang meningkatkan ketegangan serta situasi baru dari sudut penglibatan AS dalam konflik ini," kata Peskov.
Menurut Peskov, Presiden Vladimir Putin telah menyatakan pendirian Rusia dengan jelas ketika berucap di St. Petersburg, September lalu.
Pada 12 September, Putin berkata sokongan Barat terhadap langkah tersebut akan dianggap penglibatan langsung negara-negara NATO, AS dan Eropah dalam perang di Ukraine.
Ini kerana infrastruktur dan kakitangan tentera NATO perlu digunakan untuk menyasarkan dan melancarkan peluru berpandu tersebut.
"Pemerintahan semasa di Washington nampaknya berniat untuk terus menambahkan api ke konflik ini dan terus mencetuskan ketegangan," tambah Peskov.
Reuters pada Ahad melaporkan keputusan pentadbiran Biden, memetik dua pegawai AS dan seorang sumber yang arif tentang keputusan itu.
Laporan serupa juga diterbitkan oleh New York Times.
Sumber dalam laporan tersebut mengatakan bahawa langkah itu sebahagiannya adalah tindak balas kepada laporan tentang kehadiran tentera Korea Utara di wilayah Kursk, Rusia yang membantu menangkis serangan Ukraine.- REUTERS