SEOUL,30 Jun-Korea Utara mengkritik latihan ketenteraan bersama oleh Amerka Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun yang bakal diadakan sebagai pakatan NATO versi Asia.
Pada Khamis, ketiga-tiga negara berkenaan melaksanakan latihan ketenteraan berskala besar yang dipanggil "Freedom Edge" melibatkan kapal pemusnah laut, jet pejuang dan kapal pengangkut AS berkuasa nuklear Theodore Roosevelt bertujuan untuk meningkatkan pertahanan terhadap peluru berpandu, kapal selam dan serangan udara.
Latihan itu dirangka pada sidang kemuncak tiga penjuru di Kem David tahun lepas untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan di tengah-tengah ketegangan di Semenanjung Korea yang berpunca daripada ujian senjata Korea Utara.
Dalam satu kenyataan media, kementerian luar Korea Utara memberi amaran bahawa Pyongyang tidak akan mengabaikan pengukuhan blok ketenteraan yang diketuai oleh AS dan sekutunya dan akan melindungi keamanan serantau dengan tindak balas yang agresif dan luar biasa.
Kementerian itu juga berkata Washington meneruskan usahanya untuk menghubungkan Korea Selatan dan Jepun dengan NATO, sambil menambah percubaan Korea Selatan untuk membekalkan senjata ke Ukraine adalah salah satu contoh usaha berkenaan.
Korea Selatan berkata ia akan mengkaji semula kemungkinan membekalkan senjata terus ke Ukraine, sebagai protes terhadap pakatan pertahanan bersama baru-baru ini yang ditandatangani antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Sebelum ini, Korea Selatan dan Amerika Syarikat menuduh Utara membekalkan senjata kepada Rusia yang digunakan dalam perang Ukraine. Kedua-dua negara tersebut, Rusia dan Korea Utara menafikan wujudnya perkara berkenaan.
Pada Sabtu, parti pemerintah Korea Utara mengadakan mesyuarat penting yang diketuai oleh Jong Un untuk menangani "penyimpangan" yang menghalang pembangunan ekonomi negara tersebut dan meletakkan fokus untuk separuh kedua tahun ini, kata media kerajaan.
Korea Utara telah lama mengutuk latihan bersama antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebagai latihan pencerobohan dan bukti dasar permusuhan oleh Washington dan Seoul.
Tahun lalu, ketiga-tiga negara mengadakan latihan pertahanan peluru berpandu tentera laut bersama dan antikapal selam untuk meningkatkan tindak balas terhadap ancaman Korea Utara.-REUTERS