fb fb fb fb fb

Korea Utara mulakan operasi satelit pengintip - KCNA

Roket yang membawa satelit pengintip Malligyong-1 dilancarkan di lokasi yang diberikan sebagai Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Utara/REUTERS

SEOUL, 3 Disember- Korea Utara telah memulakan operasi satelit pengintip, kata agensi berita negara KCNA pada Ahad.

Perkara itu selepas negara tersebut melancarkan satelit pengintip tentera pertamanya bulan lalu sebagai satu langkah untuk menarik sekatan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

Menurut KCNA, pejabat operasi satelit baharu di Pusat Kawalan Am Pyongyang bagi Pentadbiran Teknologi Aeroangkasa Kebangsaan (NATA), mula melaksanakan misinya pada Sabtu dan akan melaporkan maklumat yang diperoleh kepada biro peninjau tentera dan unit utama lain.

Korea Utara berkata ia berjaya melancarkan satelit pengintip tentera pertamanya pada 21 November, dengan menghantar gambar White House, Pentagon, pangkalan tentera AS dan 'kawasan sasaran' di Korea Selatan.

Tindakan itu menimbulkan ketegangan serantau dan mencetuskan sekatan baharu daripada AS, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun Pyongyang tidak mengeluarkan sebarang imej daripada satelit itu.

Dalam artikel berasingan yang disiarkan oleh KCNA pada Ahad, seorang pengulas tentera Korea Utara yang tidak dikenali berkata Korea Selatan dipersalahkan kerana tidak menepati perjanjian untuk membina keyakinan ketenteraan selain membenarkan pelancaran satelit pengintipnya seperti yang dilakukan oleh negara lain.

Artikel itu turut berkata Korea Selatan juga melancarkan peninjau ketenteraan pertamanya bulan ini.

Pengerusi Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) Kim Myung-soo pada Sabtu membuat lawatan ke unit barisan hadapan berhampiran sempadan dengan Korea Utara untuk menilai kesediaan bagi menghadapi ketegangan yang memuncak, kata JCS pada Ahad.

Askar Korea Utara membawa senjata berat ke dalam sempadan Zon Demiliterisasi (DMZ) dan membaiki pos pengawal yang telah dirobohkan oleh kedua-dua negara. Ia selepas Seoul menggantung sebahagian daripada perjanjian ketenteraan pada 2018 antara kedua-dua negara dalam protes terhadap pelancaran satelit pengintip oleh Pyongyang.

Pada Jumaat, roket SpaceX Falcon 9 membawa satelit pengintip pertama Korea Selatan ke orbit dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg California.

Korea Selatan mengikat kontrak dengan syarikat AS itu untuk melancarkan sejumlah lima satelit pengintip menjelang 2025 dalam usaha mempercepatkan matlamatnya untuk mengawal Korea selama 24 jam.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI