fb fb fb fb fb

Fikir keadaan Hong Kong apabila mengundi- Presiden Taiwan

Tsai Ing-wen/REUTERS

TAIPEI, 3 Disember- Presiden Taiwan Tsai Ing-wen merayu kepada pengundi untuk memikirkan keadaan di Hong Kong yang dikuasai China apabila mereka mengundi bulan depan.

Tsai berkata keamanan mesti disokong dengan komitmen untuk meningkatkan pertahanan.

Taiwan bersiap sedia untuk pilihan raya presiden dan parlimen pada 13 Januari depan. Ketika ini China mendakwa pulau yang ditadbir secara demokrasi itu sebagai wilayahnya sendiri selain meningkatkan tekanan ketenteraan untuk menegaskan tuntutannya.

China dan parti pembangkang utama Taiwan, Kuomintang (KMT), menjadikan pilihan raya sebagai pilihan antara perang dan keamanan. China membenci Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah Taiwan dan calon presidennya dan Naib Presiden Lai Ching-te, menggelar mereka sebagai pemisah berbahaya.

Tsai berkata pembangkang menggunakan kempen tentang perang dan keamanan ketika berucap kepada penyokong pada perhimpunan kempen untuk Lai di ibu kota Taipei.

"Saya ingin bertanya kepada anda semua adakah kita mahu berperang? Tiada siapa yang mahu," katanya. "Lihat Hong Kong dan fikirkan Taiwan. Kami tidak mahu keamanan ala Hong Kong. Kami mahukan keamanan yang bermaruah."

Hong Kong merupakan bekas tanah jajahan British sebelum dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997 dengan janji autonomi luas bawah rangka kerja 'satu negara, dua sistem', yang juga ditawarkan China kepada Taiwan.

Beijing pada 2020 telah mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong, yang dikatakan penting untuk memulihkan kestabilan selepas bandar itu.

Mereka berkata hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka selain berulang kali menawarkan rundingan dengan China namun ia ditolak.

"Untuk memastikan keamanan, kita perlu mengukuhkan keupayaan kita untuk mempertahankan diri. Rumah kita mempunyai kunci, tetapi bukan untuk memprovokasi jiran kita," kata Tsai dalam perhimpunan itu. "Hanya dengan keazaman kita boleh mempertahankan maruah, dan dengan kekuatan kita boleh memastikan keamanan."

Calon presiden KMT Hou Yu-ih berkata undian untuk DPP adalah seperti "menghantar semua orang ke medan perang" kerana menyokong kemerdekaan Taiwan akan mencetuskan peperangan.

KMT secara tradisinya memihak kepada hubungan rapat dengan China tetapi menafikan sekeras-kerasnya sebagai pro-Beijing. Ia telah berjanji untuk membuka semula rundingan dengan China sekiranya memenangi pilihan raya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI