fb fb fb fb fb

Korea Utara, Belarus setuju eratkan hubungan

Korea Utara dan Belarus berikrar untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat ketika Pyongyang mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana cuba meningkatkan tekanan sekatan dengan tidak mengikut undang-undang / Foto Reuters

SEOUL, 19 April - Korea Utara dan Belarus berikrar untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat ketika Pyongyang mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana cuba meningkatkan tekanan sekatan dengan “tidak mengikut undang-undang”.

Timbalan Menteri Luar Belarus, Evgeny Shestakov dan rakan sejawatannya dari Korea Utara, Im Chon Il membincangkan kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi dan budaya serta sokongan bersama di pentas global pada Khamis, lapor KCNA.

Kunjungan itu adalah yang terbaharu dalam siri pertukaran diplomatik selepas Pyongyang menarik balik sekatan COVID-19.

KCNA menerusi satu kenyataan memaklumkan, Kim Son Gyong, Naib Menteri bagi Pertubuhan Antarabangsa Kementerian Luar DPRK, mengkritik Linda Thomas-Greenfield, duta AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam lawatannya minggu ini ke Korea Selatan dan Jepun dengan melabelkan sekatan PBB terhadap Korea Utara sebagai “tidak mengikut undang-undang”.

Rusia telah menolak pembaharuan tahunan panel pakar multinasional yang telah memantau pelaksanaan sekatan PBB sejak 15 tahun lalu, bertujuan untuk mengekang program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Delegasi Korea Utara sejak bulan lepas telah melakukan lawatan ke beberapa negara termasuk China dan Vietnam manakala delegasi dari Rusia dan China telah melawat Pyongyang.

Di sebelah selatan sempadan yang memisahkan kedua-dua Korea, Korea Selatan dan Amerika Syarikat memulakan latihan udara bersama selama 15 hari pada Jumaat lepas, acara tahunan yang diadakan untuk meningkatkan persediaan gabungan tentera kedua-dua negara.

Pasukan operasi khas kedua-dua negara pada Khamis juga mengadakan latihan udara dengan pasukan payung terjun sebagai sebahagian daripada latihan tahunan terbang Korea, kata tentera Korea Selatan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN