SEOUL, 6 Ogos – Seoul perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan Washington berhubung tarikh pelaksanaan pengurangan tarif terhadap eksport kenderaan Korea Selatan ke Amerika Syarikat (AS), yang ketika ini dikenakan pada kadar 25 peratus.
Menteri Perindustrian Korea Selatan, Kim Jung-kwan berkata, Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengumumkan bahawa negara itu akan mengenakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas import dari Korea Selatan, termasuk kenderaan.
Ia sebagai sebahagian daripada perjanjian yang bertujuan meredakan ketegangan dengan rakan dagang utama dan sekutu strategik Asia itu.
"AS akan melaksanakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas Korea Selatan bermula 7 Ogos melalui perintah eksekutif untuk menyemak semula kadar tarif timbal balik. Namun begitu, perbincangan lanjut diperlukan dengan pihak AS mengenai tarikh pengurangan tarif bagi kenderaan," katanya.
Dalam sektor teknologi, Kim memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan rundingan berkaitan undang-undang platform dalam talian bagi memastikan syarikat teknologi AS tidak diperlakukan secara tidak adil berbanding firma tempatan.
Menteri itu turut menegaskan bahawa tiada persetujuan dicapai berkenaan pembukaan pasaran pertanian, namun kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam proses kuarantin bagi buah-buahan dan sayur-sayuran, yang sering dibangkitkan Washington sebagai halangan bukan tarif yang dihadapi oleh petani AS.
"Walaupun isu digital tidak dimasukkan dalam perjanjian terkini, kebimbangan mengenainya tetap wujud dalam kalangan kerajaan, parlimen dan perniagaan AS," katanya lagi.- REUTERS