fb fb fb fb fb

Korea Selatan lancar latihan pertahanan udara, kali pertama selepas 6 tahun

FOTO REUTERS

SEOUL, 23 Ogos- Korea Selatan bersedia untuk mengadakan latihan pertahanan udara pertama di seluruh negara dalam tempoh enam tahun pada Rabu, di tengah-tengah ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat.

Latihan tersebut merupakan elemen utama latihan pertahanan awam tahunan Ulchi, yang diadakan bersama latihan Ulchi Freedom Shield, yang dimulakan tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Langkah itu antara usaha meningkatkan tindak balas terhadap serangan Korea Utara atau kecemasan lain.

Menurut kementerian dalam negeri dan keselamatan, pada pukul 2.00 petang, siren serbuan udara akan berbunyi, meminta orang ramai keluar selama kira-kira 15 minit sebelum amaran dilonggarkan.

Pejalan kaki mesti berada di tempat perlindungan yang ditetapkan atau ruang bawah tanah berdekatan manakala pemandu di kira-kira 200 kawasan di seluruh negara mesti berhenti ke tepi jalan.

Orang ramai di hampir 500 pasar raya, panggung wayang dan kemudahan awam lain akan dibimbing untuk berpindah manakala institusi perubatan dan pengangkutan awam akan beroperasi seperti biasa.

Beberapa pusat komuniti berhampiran kompleks pangsapuri di Seoul mengumumkan latihan yang dirancang dengan pembesar suara pada Selasa, meminta penduduk mengikut arahan yang akan disiarkan di radio.


(Aktivis antiperang mengadakan perhimpunan untuk membantah latihan tahunan bersama
Ulchi Freedom Shield antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat,
berhampiran Pejabat Presiden di Seoul/AFP)

"Latihan itu bertujuan untuk bertindak balas secara berkesan kepada serbuan udara sebenar. Jangan terkejut dan sila cari tempat perlindungan berdekatan," menurut pengumuman itu.

Di beberapa wilayah bersempadan dengan Korea Utara, penduduk dijangka menghadapi senario tambahan termasuk latihan kimia, biologi dan radiologi, memakai topeng gas dan menggunakan pek makanan kecemasan, kata kementerian itu.

Latihan pertahanan awam Ulchi telah dilancarkan pada tahun 1969 susulan serbuan oleh komando Korea Utara ke dalam perkarangan presiden di Seoul.

Terdapat kira-kira 17,000 tempat perlindungan dibina di seluruh negara untuk 52 juta rakyat Korea Selatan. Bagaimanapun, latihan pertahanan udara tidak berlaku sejak 2017.

Pada akhir Mei, Seoul mendapat kecaman selepas ia mengeluarkan penggera serbuan udara palsu dan amaran pemindahan berikutan pelancaran satelit Korea Utara yang gagal, walaupun ibu kota itu jauh dari trajektori roket sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk. -REUTERS

Media Baharu