fb fb fb fb fb

Korban di Gaza lebih 59,000 orang, Israel sasar Deir al-Balah

Foto Fail/ REUTERS

GAZA, 22 Julai – Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat konflik berterusan antara Israel dan Hamas meningkat kepada 59,029 orang, manakala seramai 142,135 individu lagi cedera.

Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan dalam tempoh 24 jam lalu, 134 individu terkorban dan lebih 1,000 orang cedera dalam serangan tentera Israel.

Sementara itu, media Palestin melaporkan, kereta kebal Israel dilihat memasuki kawasan selatan dan timur Deir al-Balah buat kali pertama, iaitu kawasan yang dipercayai menjadi lokasi beberapa tahanan yang masih belum dibebaskan.

Media Israel termasuk The Times of Israel pula melaporkan tentera Israel telah memulakan operasi darat di kawasan Deir al-Balah, yang terletak di tengah Gaza.

Tentera Israel turut melancarkan beberapa serangan udara dan serangan artileri ke atas kawasan tersebut pada awal pagi Isnin.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan bahawa tindakan ketenteraan pada hari yang sama telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 kematian.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN