fb fb fb fb fb

Konflik Tajikistan-Kyrgyzstan: 94 dilaporkan maut dalam pertempuran

(Sukarelawan menghulurkan bantuan misi kemanusiaan untuk rakyat yang
dipindahkan dari bandar Batken di Bishkek pada 17 September lalu/FOTO AFP)

BISHKEK, 19 September - Sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam pertempuran antara Tajikistan dan Kyrgyzstan minggu ini.

Ia merupakan konflik keganasan terburuk yang pernah dialami dua negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian antara dua negara jiran Asia Tengah itu bagaimanapun dilaporkan reda petang Ahad, menurut pihak berkuasa Kyrgyztan.

Tajikistan semalam berkata seramai 35 rakyatnya terbunuh, angka kematian rasmi pertama sejak pertempuran bersenjata tercetus pada hari Rabu lepas.

Sementara itu di Facebook, Kementerian Luar Tajikistan juga melaporkan 25 rakyat negara itu cedera.

Antaranya wanita dan kanak-kanak mengalami kecederaan.

Kementerian itu menuduh tentera Kyrgyz membunuh 12 orang dalam serangan dron ke atas sebuah masjid, enam maut dalam serangan ke atas sebuah sekolah, manakala tujuh lagi maut dalam serangan ke atas ambulans.

Bagaimanapun, dakwaan itu belum dapat disahkan.

(Penduduk tempatan berdoa semasa perhimpunan menuntut pihak berkuasa
menyokong penduduk wilayah Batken selatan Kyrgyzstan berikutan pertempuran
sempadan dengan tentera Tajik pada 16 September lalu/FOTO AFP)

Semalam, Kyrgyzstan melaporkan kira-kira 59 rakyatnya menjadi mangsa korban di wilayah sempadan selatan Batken, manakala 144 yang lain cedera.

Selain itu, seramai empat askar Kyrgyz dilaporkan masih hilang.

Menurut beberapa pertubuhan bukan kerajaan puluhan ribu orang telah dipindahkan dari wilayah sempadan Kyrgyz itu sejak beberapa hari lalu.

Kyrgyzstan mengisytiharkan 19 September sebagai perkabungan negara. – AFP

Media Baharu