fb fb fb fb fb

Kira-kira 100 orang hadiri upacara keagamaan untuk Nagaenthran

SINGAPURA, 27 April- Kira-kira 100 orang termasuk aktivis hak asasi manusia, ahli keluarga, dan orang awam menghadiri upacara keagamaan untuk Nagaenthran K Dharmalingam, yang dihukum mati pada pagi ini di Penjara Changi Singapura.

Upacara diadakan di 38, Sin Ming Drive di sini bermula pukul 1.00 tengah hari sebelum rombongan itu berlepas ke Ipoh, Perak pada pukul 4.50 petang, tempat Nagaenthran akan disemadikan.

Seorang daripada hadirin berkata, “ Undang-undang tetap undang-undang walau di mana kita berada. Saya di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada insan lain,” kata lelaki itu yang hadir bersama rakannya warga Filipina.

Semalam, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili peguam.

Permohonan terakhir itu adalah yang ketujuh, tidak termasuk rayuan oleh Nagaenthran selepas rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2011.

(Nagaenthran K. Dharmalingam)

Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk rayuan terakhirnya.

Media Baharu