fb fb fb fb fb

Khazanah laut 800 tahun: Terumbu karang purba dijumpai di Laut Merah

Foto fail/ Reuters

RIYADH, 28 April - Red Sea Global (RSG) pada Ahad mengumumkan penemuan penting sebuah koloni terumbu karang gergasi spesies Pavona di perairan AMAALA, pesisir barat laut Arab Saudi, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Ia hampir menyamai saiz pemegang rekod dunia semasa yang berukuran 32 x 34 meter, ditemukan di Lautan Pasifik dan kini diiktiraf sebagai koloni karang terbesar seumpamanya yang pernah direkodkan di Laut Merah.

Dalam satu kenyataan media, RSG mendedahkan keajaiban semula jadi itu berpotensi menjadi tarikan utama pelancong ke AMAALA menerusi aktiviti selam, menawarkan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan.

Akses ke lokasi itu akan dibenarkan kepada para pelawat selaras dengan prinsip pelancongan bertanggungjawab RSG, bagi memastikan impak terhadap ekosistem marin diminimumkan sambil membolehkan pengunjung menikmati keindahan luar biasa dunia bawah laut.

Ketua Perlindungan Alam Sekitar dan Pemulihan RSG, Ahmed Alansari berkata penemuan karang sebesar ini menunjukkan betapa pentingnya nilai ekologi dan keindahan semula jadi Laut Merah.

"Di RSG, kami percaya perlindungan terumbu karang adalah sangat penting. Karang gergasi seperti ini berfungsi sebagai kapsul masa, memberikan maklumat penting untuk menjejaki perubahan oseanografi masa lalu, yang seterusnya membantu kita memodelkan tindak balas terhadap perubahan alam sekitar pada masa depan,” katanya.

Beliau juga berkata memahami bagaimana koloni karang ini mampu bertahan begitu lama adalah penting untuk melindungi terumbu karang lain di Laut Merah, dan mungkin di seluruh dunia demi generasi akan datang.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa menentukan usia sebenar karang gergasi ini adalah mencabar kerana teknik penentuan usia yang tepat bersifat invasif, selain ketiadaan data kadar pertumbuhan spesies terbabit di Laut Merah.

Namun, anggaran berdasarkan saiz koloni, kadar pertumbuhan spesies serupa di Lautan Pasifik serta hasil pemetaan fotogrametri menunjukkan ia berusia antara 400 hingga 800 tahun. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF