fb fb fb fb fb

Ketidaktentuan tarif AS, syarikat Jerman beralih ke China

Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan Jerman di China, Oliver Oehms menegaskan ketidaktentuan dasar tarif AS menjejaskan keyakinan pelabur/Foto REUTERS

BEIJING, 24 Mei – Polisi tarif Amerika Syarikat (AS) yang tidak konsisten mendorong pengusaha Jerman mendesak penyelesaian multilateral bagi mengurangkan kebergantungan terhadap eksport ke Amerika.

Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan Jerman di China, Oliver Oehms menyuarakan perkara itu dalam temu bual bersama media sempena Sidang Kemuncak Promosi Perdagangan dan Pelaburan Global 2025 di Beijing.

“Polisi tarif ini memberi kesan besar kepada hubungan perdagangan global, terutamanya kepada negara yang sangat bergantung kepada eksport dan import seperti Jerman dan China.

Oehms menambah, ketidaktentuan dasar tarif AS menjejaskan keyakinan pelabur dan menyebabkan syarikat Jerman mencari kestabilan dengan memperkukuh hubungan dagangan bersama China.

Sidang kemuncak tersebut menyaksikan pelancaran Beijing Initiative, satu inisiatif baharu yang menyeru kerjasama lebih erat dalam era digital bagi merangsang pertumbuhan ekonomi global dan kemakmuran bersama.

Lebih 800 wakil dari pelbagai negara menghadiri sidang yang menghimpunkan pemain utama perdagangan dunia.

Oehms turut berharap sidang kemuncak ini menghasilkan keputusan konkrit memandangkan terdapat komitmen jelas antara Jerman, Kesatuan Eropah (EU) dan China untuk memperkukuh kerjasama.

“Kepimpinan baharu Jerman dan China menyatakan komitmen kukuh terhadap prinsip multilateralisme dan Ini mesej penting yang kami perlukan.

"Kami juga maklum perbincangan antara pihak Kesatuan Eropah dan China sedang giat berlangsung, dan berharap sidang kemuncak ini mampu membuahkan hasil yang konkrit buat para penggiat industri,” tambahnya.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD