fb fb fb fb fb

Kes hepatitis pada kanak-kanak membimbangkan - EU

STOCKHOLM, 29 April - Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan kes hepatitis yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak di rantau berkenaan sebagai satu masalah kesihatan awam yang membimbangkan.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) mengesan 191 kes hepatitis dilaporkan di seluruh dunia sejak akhir Mac lalu yang kebanyakannya di Eropah.

Beberapa kes mengakibatkan kegagalan hati yang memerlukan pemindahan dilakukan.

ECDC dalam kenyataan memaklumkan penyakit itu jarang berlaku. Bagaimana pun, penyakit tersebut memberi risiko yang lebih tinggi kepada kanak-kanak. Puncanya tidak diketahui.

"Risiko untuk kanak-kanak Eropah tidak dapat dinilai dengan tepat kerana bukti penularan antara manusia tidak jelas dan kes di Kesatuan Eropah adalah sporadis dengan trend yang tidak jelas", katanya.

Memandangkan punca penyakit yang tidak diketahui dan potensi penyakit yang lebih teruk kesannya, ECDC berkata wabak itu merupakan masalah kesihatan awam yang membimbangkan.


ECDC kesan 191 kes hepatitis dilaporkan di seluruh dunia sejak akhir Mac lalu,
kebanyakannya di Eropah/AFP)

Lonjakan kes hepatitis bermula di Scotland pada 31 Mac dan lebih 100 daripada 191 kes yang direkodkan setakat ini dilaporkan di Britain.

Jangkitan seterusnya telah dilaporkan di 12 negara Eropah lain, Amerika Syarikat, Israel dan Jepun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya satu kematian direkodkan setakat ini akibat penyakit tersebut.

Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti berusia di bawah 10 tahun dan ramai di bawah umur lima tahun. Tiada satu pun yang mempunyai keadaan kesihatan asas lain.

Agensi itu mengesyorkan penambahbaikan pengawasan dan amalan menjaga kebersihan untuk mengawal penularannya.-AFP

Media Baharu