fb fb fb fb fb

Kes bunuh Narin Guran : Ibu dan abang sulung antara 3 dipenjara seumur hidup

Kanak-kanak perempuan, Narin Guran dilaporkan hilang selama 19 hari sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah beg di sungai tidak jauh dari kediamannya

DIYARBAKIR, 29 Disember- Sebuah mahkamah di Turkiye pada Sabtu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga suspek, termasuk ahli keluarga, atas kematian misteri seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di wilayah Diyarbakir.

Mayat Narin Guran, yang dilaporkan hilang selama 19 hari, ditemui pada bulan September dalam sebuah beg di sungai kira-kira satu kilometer dari kampung tempat dia tinggal bersama keluarganya.

Selepas sesi perbicaraan yang tegang sepanjang hari, mahkamah di Diyarbakir menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada kepada ibu, abang sulung dan bapa saudara Narin atas tuduhan "bekerjasama sama membunuh dengan sengaja", menurut wartawan di mahkamah itu.

Hakim juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan kepada seorang lagi suspek, Nevzat Bahtiyar, yang telah mengaku bersalah atas pembunuhan tersebut.

Narin dilaporkan hilang pada 21 Ogos, mencetuskan usaha pencarian besar-besaran di seluruh Turkiye, dengan sejumlah tokoh terkenal turut menyertai kempen media sosial bertajuk "Cari Narin".

Tidak lama selepas mayatnya ditemui, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyatakan kesedihan mendalam dan berjanji akan secara peribadi mengikuti proses kehakiman agar mereka yang bertanggungjawab mengambil nyawa Narin menerima hukuman paling berat.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE