fb fb fb fb fb

Kes bunuh Fernando Villavicencio, lima tertuduh ke penjara

Foto Reuters

QUITO, 13 Julai- Sebuah mahkamah di Ecuador pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 34 tahun bagi lima tertuduh yang didapati bersalah membunuh calon presiden, Fernando Villavicencio.

Wartawan dan bekas penggubal undang-undang, Villavicencio ditembak ketika meninggalkan perhimpunan pada Ogos 2023, menjadi mangsa keganasan paling teruk yang semakin meningkat di Ecuador.

Keputusan yang dibacakan oleh Milton Maroto, salah seorang daripada tiga hakim mahkamah, boleh dirayu oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.

Perbicaraan bermula pada akhir Jun.

Pendakwa raya menuduh sekurang-kurangnya dua daripada mereka yang dibicarakan menganggotai kumpulan jenayah Los Lobos, antara 22 kumpulan jenayah yang ditetapkan sebagai pengganas oleh Presiden Daniel Noboa pada Januari.

Menurut pejabat peguam negara, Carlos Edwin Angulo Lara, yang dikenali sebagai 'El Invisible' ('The Invisible'), memberikan arahan untuk membunuh Villavicencio dari penjara manakala Laura Dayanara Castillo bertanggungjawab ke atas logistik.

Kedua-dua Angulo dan Castillo dijatuhi hukuman 34 tahun lapan bulan manakala Erick Ramirez, Victor Flores dan Alexandra Chimbo dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Villavicencio telah lama menerima ancaman bunuh susulan ketegasan beliau menangani rasuah serta mendedahkan hubungan jenayah terancang dengan ahli politik.

Pendakwa raya sedang giat menjalankan siasatan berasingan, dalam mengenal pasti dalang disebalik pembunuhan itu.

Salah seorang pembunuh upahan mati di tempat kejadian pembunuhan Villavicencio dan tujuh suspek lain, kebanyakannya warga Colombia, dibunuh pada Oktober ketika ditahan di penjara dalam tahanan pra-perbicaraan.

Rakan dan keluarga Villavicencio telah mengecam penangguhan berkali-kali dan menggesa siasatan terhadap siapa mengarahkan pembunuhan itu.

Veronica Sarauz, balu Villavicencio, telah meminta hakim pada Jumaat untuk menggunakan undang-undang yang setimpal kepada mereka yang dituduh.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM