fb fb fb fb fb

Keracunan plumbum ancam kesihatan global

(FOTO HIASAN)

PARIS, 13 September - Keracunan plumbum dikatakan mempunyai kesan yang jauh lebih besar terhadap kesihatan global berbanding yang dijangkakan sebelum ini yang berpotensi menyumbang kepada lebih lima juta kematian setiap tahun dan menjadi ancaman yang setaraf dengan pencemaran udara, menurut kajian penyelidikan model, pada Selasa.

Kajian itu, yang disifatkan sebagai "amaran", turut mendedahkan bahawa pendedahan kepada logam beracun itu boleh menyebabkan kanak-kanak di negara membangun kehilangan purata hampir enam mata IQ.

(FOTO HIASAN)

Pencemaran plumbum telah terbukti menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang serius, terutamanya yang berkaitan dengan penyakit jantung dan perkembangan otak kanak-kanak kecil, sehingga membawa kepada larangan bahan api plumbum di seluruh dunia.

Manusia masih boleh terdedah kepada neurotoksin yang kuat itu melalui makanan, tanah, perkakas memasak, baja, produk kosmetik, bateri kereta berasid plumbum dan pelbagai sumber lain.

Kajian tersebut dilakukan oleh dua pakar ekonomi Bank Dunia dan hasilnya telah diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health.

Kajian itu merupakan kajian pertama yang menilai kesan pendedahan kepada plumbum terhadap kematian akibat penyakit jantung dan kehilangan IQ kanak-kanak di negara maju dan membangun.– AFP

Media Baharu