NAIROBI, 31 Julai- Kementerian Kesihatan Kenya hari ini mengesahkan negaranya mencatatkan kes pertama penyakit disebabkan virus cacar monyet atau mpox.
Kes pertama tersebut dikesan pada seorang penumpang di sempadan selatan negara yang dalam perjalanan dari Uganda ke Rwanda melalui Kenya.
Khamis lepas, Burundi mengumumkan tiga kes mpox, manakala Republik Demokratik Congo melaporkan lebih 11,000 kes disyaki termasuk kira-kira 450 kematian disebabkan virus itu pada Sabtu lalu.
Ia sekali gus mencetuskan amaran pada Isnin daripada lapan anggota Komuniti Afrika Timur (EAC), yang menyeru negara-negara "untuk mendidik rakyat mereka tentang cara melindungi diri dan mencegah penularan wabak".
Mpox, dahulunya dikenali sebagai monkeypox, pertama kali ditemui pada manusia pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo. -AFP