fb fb fb fb fb

Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat santuni penduduk 'perkampungan terapung'

Penduduk menerima 10kilogram beras sumbangan Bank Rakyat. - Foto RTM

PHNOM PENH, 8 Jun - Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat menyantuni 150 keluarga beragama Islam dari Kampung Swai Relom di wilayah Kandal yang menjadikan perahu sebagai tempat tinggal mereka.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, setiap keluarga menerima 10 kilogram beras yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan tersebut.

"Kami hadir di sini untuk melihat sendiri kesusahan yang dialami penduduk yang menetap dalam perahu. Ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. InsyaAllah kita akan teruskan program sebegini pada masa hadapan," kata beliau kepada pemberita pada sesi pengagihan beras.

Terdahulu, para petugas media dibawa menaiki kapal layar menelusuri Sungai Tonle Sap yang berhubung dengan Sungai Mekong bagi melihat sendiri kehidupan penduduk yang tinggal di ‘perkampungan terapung’ tersebut.

Sementara itu, wakil penduduk, Mansor Salleh meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pihak Bank Rakyat dalam membantu meringankan beban mereka.

"Separuh daripada 150 keluarga ini adalah penduduk tetap yang tiada rumah dan hanya tinggal atas perahu. Pendapatan mereka sekadar bergantung kepada hasil tangkapan ikan. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," ujarnya.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM