(Indonesia mengharamkan penjualan dan preskripsi kesemua ubat yang berasaskan sirap
buat sementara waktu/ REUTERS)
JAKARTA, 22 Oktober - Kementerian Kesihatan Indonesia menyatakan jumlah kanak-kanak yang meninggal dunia disebabkan kecederaan buah pinggang kronik meningkat daripada 99 kepada 133 kematian.
Jelas Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, angka kematian tersebut adalah antara 241 kes secara keseluruhan di 22 wilayah.
Kebanyakan pesakit merupakan kanak-kanak bawah umur lima tahun.
Pada Khamis, Budi mendedahkan bahawa beberapa ubat sirap, yang terdapat di negara itu mengandungi etilena glikol dan dietelena glikol, iaitu bahan-bahan yang dikaitkan dengan kes yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak itu.
(Foto REUTERS)
Indonesia mengharamkan penjualan dan preskripsi kesemua ubat yang berasaskan sirap buat sementara waktu.
Indonesia juga menubuhkan sebuah pasukan pakar terdiri daripada pegawai kesihatan dan pediatrik tempatan serta wakil-wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk meneliti lonjakan kes dalam kalangan kanak-kanak. -AFP