fb fb fb fb fb

Kematian di Gaza cecah 48,319 orang

FOTO AFP

GAZA CITY, 21 Februari- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,319 orang, manakala 111,749 lagi cedera, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Khamis.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan 16 kecederaan, sementara hospital di Gaza menerima 22 mayat mangsa yang ditemui di bawah runtuhan, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Hamas pada Khamis menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, melengahkan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Jurucakap Hamas, Abdul Latif Al-Qanou, dalam satu kenyataan berkata, rundingan mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata masih belum benar-benar bermula, walaupun Hamas bersedia untuk terlibat seperti yang dijadualkan.

Menurutnya, Hamas sedang menunggu Israel melaksanakan semua peruntukan dalam protokol kemanusiaan dan bersedia menyempurnakan pelaksanaan perjanjian dalam semua fasa dengan cara yang memenuhi tuntutan mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa Hamas akan terus komited terhadap perjanjian gencatan senjata selagi Israel juga mematuhinya.

Bawah perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang mula berkuat kuasa sejak 19 Januari, dengan fasa pertama berlangsung selama enam minggu, Israel sepatutnya memulakan rundingan bagi fasa kedua dengan Hamas pada 3 Februari.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE