BEIJING, 21 Februari- Tentera China mendakwa telah memberi amaran dan menghalau tiga pesawat Filipina yang didakwa menceroboh secara haram ruang udara berhampiran Kepulauan Spratly pada Khamis.
Setakat ini, pihak kedutaan Filipina di Beijing belum memberikan sebarang komen berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera China pada Jumaat.
Komando Teater Selatan China menuduh Filipina cuba “menjual tuntutan haramnya” melalui provokasi dan memberi amaran bahawa tindakan itu adalah sia-sia.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya, laluan perairan penting yang menyumbang lebih daripada AS$3 trilion dalam perdagangan tahunan melalui kapal menyebabkan pertikaian dengan beberapa negara termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.
Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada 2016 telah membatalkan tuntutan luas China terhadap kawasan tersebut, namun Beijing enggan mengiktiraf keputusan itu.
Pada Khamis, pihak berkuasa Filipina memaklumkan bahawa pengawal pantai dan biro perikanannya telah menjalankan penerbangan pemantauan di kawasan Kepulauan Kalayaan, nama Filipina bagi Kepulauan Spratly.
Misi itu bertujuan untuk menegaskan kedaulatan dan hak maritim Filipina di Laut Filipina Barat. Sepanjang operasi itu, lebih daripada 50 kapal militia maritim China serta sebuah kapal pengawal pantai China dikesan di perairan tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada misi pemantauan yang melibatkan dua pesawat Filipina itu adalah insiden yang dimaksudkan oleh tentera China.
Konfrontasi terbaru itu berlaku selepas pihak pengawal pantai Filipina menuduh tentera laut China melakukan manuver penerbangan berbahaya awal minggu ini dengan terbang rapat ke pesawat kerajaan yang sedang melakukan rondaan di kawasan terumbu Scarborough yang turut menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Beijing menafikan tuduhan tersebut.-REUTERS