fb fb fb fb fb

Kemarau di hutan hujan Amazon ganggu kehidupan penduduk

Penduduk menjunjung pisang dan berjalan di atas tebing pasir akibat kemarau yang menjejaskan Sungai Solimoes di Manacapuru/ REUTERS

MANACAPURU, 16 September- Kemarau buruk melanda hutan hujan Amazon, Brazil secara drastik mengubah kehidupan penduduk berikutan pergerakan terhalang akibat paras rendah hulu Sungai Amazon.

Di bandar Manacapuru, berhampiran ibu negeri Manaus, kemarau juga telah menjejaskan kelancaran operasi di Sungai Solimoes.

Bot terdampar di tebing pasir menjadi pemandangan biasa, menghalang pengangkutan barangan tempatan seperti ikan, pisang dan ubi kayu, serta mengganggu logistik untuk membawa masuk barangan asas seperti makanan dan air dari luar.

"Kami melabuhkan bot di sini, dan ia tersangkut di tanah kering pada keesokan harinya. Kami tidak mempunyai cara untuk mengalihkannya," kata nelayan Joshua Oliveira.

Sementara itu Francisco da Silva yang juga nelayan menyifatkan keadaan itu sebagai kritikal. Air sudah mula bertukar hijau, sekali gus menunjukkan tanda ia mungkin tidak selamat untuk diminum.

"Namun kami perlu minum juga," katanya sambil menambah bahawa sukar untuk mendapatkan bekalan dari kawasan lain berikutan keadaan sungai menjadi kering. "Tiada apa-apa yang akan berjaya."

Sungai Amazon di hilir merupakan talian hayat penting untuk mengangkut semua jenis barangan masuk dan keluar dari bandar.

Sementara itu menurut Pusat Pemantauan dan Amaran Awal Bencana Alam (Cemaden) Kebangsaan, kemarau semasa adalah yang paling teruk dan meluas yang dialami Brazil sejak rekod pada 1950.

Bagaimanapun musim hujan yang lemah di wilayah utara dan tengah memburukkan keadaan dengan peningkatan suhu atmosfera, dan perubahan guna tanah menjadikan kawasan hutan dengan padang rumput.

Pada Ahad, Mahkamah Tertinggi Brazil telah meluluskan kerajaan untuk mengecualikan perbelanjaan berkaitan dengan kebakaran hutan dan kemarau di kawasan Amazon dan Pantanal daripada sasaran fiskal yang ditetapkan tahun ini, ketika negara itu berdepan dengan implikasi ekonomi kemarau terburuk yang pernah direkodkan- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI