fb fb fb fb fb

Filipina terus kerah kawalan di beting Laut China Selatan

Kapal-kapal Maritim China berhampiran Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan/ REUTERS

MANILA, 16 September- Filipina akan terus mengerahkan kapal untuk berkawal di Beting Sabina di Laut China Selatan, kata pengawal pantainya pada Isnin.

Namun sebuah kapal Filipina kembali ke pelabuhan pada Ahad selepas ditempatkan di kawasan itu selama lima bulan.

"Kami akan mengekalkan keberadaan di perairan ini," kata Jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jay Tarriela dalam satu sidang media.

Kapal PCG, Teresa Magbanua, telah dikerahkan ke Beting Sabina pada April untuk memantau aktiviti di kawasan itu.

Tarriela berkata kepulangan kapal berkenaan tiada kaitan dengan China.

Beting Sabina terletak di barat wilayah Palawan Filipina, dalam zon ekonomi eksklusif negara itu.

"Tidak kira saiz dan berapa banyak kapal, objektif utama dan komitmen komandan (PCG)... adalah untuk memastikan akan ada pengawal pantai di beting berkenaan," kata Tarriela.

Bagaimanapun pengawal pantai China akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di perairan bawah bidang kuasa Beijing mengikut undang-undang dan melindungi kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritimnya.

China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan yang turut bertindih dalam zon maritim Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Pada 2016, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda telah mengeluarkan keputusan menolak tuntutan China di Laut China Selatan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI