(Perdana Menteri Peru, Aníbal Torres/ AFP)
LIMA, 4 Ogos- Perdana Menteri Peru, Aníbal Torres mengumumkan peletakan jawatannya, semalam.
Ia sekali gus menambah kekusutan politik di negara itu yang turut menyaksikan Presiden, Pedro Castillo kini berdepan beberapa siasatan jenayah selepas hanya setahun memegang jawatan itu.
Menerusi perkongsian di Twitter, Torres berkata beliau meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi.
Castillo di bawah undang-undang boleh menerima ataupun menolak peletakan jawatan itu, bagaimanapun belum memberi sebarang komen, hingga kini.
Torres adalah Perdana Menteri keempat bawah pentadbiran Castillo, selepas dilantik pada Februari lalu.
Sebelum itu, beliau adalah Menteri Keadilan sejak Castillo menjadi Presiden pada 28 Julai 2021.
Castillo adalah bekas guru di luar bandar sebelum mengejutkan golongan elit politik Peru apabila memenangi pilihan raya sebagai Presiden dengan kempen yang menjanjikan penambahbaikan kualiti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain.
Namun, tahun pertama pentadbiran Castillo dilanda pergolakan berterusan, termasuk beberapa kali pertukaran ahli Kabinet, malah beliau sendiri turut menghadapi dua percubaan untuk memecatnya.
Selain itu, Castillo sedang berdepan lima penyiasatan meliputi beberapa dakwaan berkait rasuah dan plagiarisme membabitkan tesis sarjananya.
Torres yang dilapor memaklumkan dirinya mahu kembali kepada dunia pengajaran di universiti, dilihat kuat mempertahankan Castillo sebelum ini, termasuk mengkritik media dan pihak yang melemparkan dakwaan terhadap Presiden itu. - AP
(Castillo (depan, kanan) berjalan bersama Torres dan ahli Kabinet lain di Lima, Peru, pada Mac lalu/ AP)