(Volodymyr Zelensky berucap pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Pemimpin G7 di Hiroshima/AFP)
MOSCOW, 21 Mei- Rusia menuduh para pemimpin G7 menjadikan sidang kemuncak mereka di Jepun sebagai "pentas propaganda" dengan menjemput Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang menyebar "histeria anti-Rusia dan anti-China".
“Pemimpin G7 membawa ke pertemuan mereka ketua kumpulan rejim Kiev yang mereka kawal dan menjadikan acara Hiroshima sebagai pentas pertunjukan propaganda,” kata kementerian luar Rusia.
“Kesimpulan utama sidang kemuncak itu ialah sekumpulan pengumuman yang dipenuhi mesej anti-Rusia dan juga anti-China yang penuh kebencian,” tegas kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya G7 telah menjadi inkubator bawah kepimpinan Anglo-Saxon, inisiatif yang merosakkan dan menjejaskan kestabilan global.
"Kemerosotan Barat dalam pengaruh global memaksa ahli badan ini untuk meletakkan semua usaha mereka untuk mencanang naratif anti-Rusia dan anti-China.
"Kami pasti bahawa penilaian kami terhadap G7 dikongsi oleh majoriti masyarakat antarabangsa," tambahnya. -AFP
(Fumio Kishida (kanan) mengiringi Volodymyr Zelensky ke Cenotaph untuk Mangsa Bom Atom
semasa upacara meletakkan kalungan bunga, selepas Sidang Kemuncak Pemimpin G7/AFP)