RAMALLAH, Sabtu, 10 Disember- Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh menyifatkan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap Gaza, susulan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya sebagai 'lesen' untuk rejim zionis meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, Mohammad Shtayyeh menerusi kenyataan berkata bahawa penggunaan kuasa veto tersebut mendedahkan kepalsuan AS yang kononnya mengambil berat tentang kehidupan orang awam Palestin.
Beliau menganggap tindakan itu sebagai penghinaan kepada kebebasan rakyat dan melanggar nilai keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia, terutamanya pada ulang tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaannya kepada negara-negara yang mengundi menyokong resolusi itu dan menggesa mereka mengiktiraf Negara Palestin yang merdeka dan meneruskan usaha untuk menghentikan pencerobohan Israel.
Beliau memohon penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api, untuk memulihkan kembali Semenanjung Gaza selepas dua bulan serangan tanpa henti tentera Israel.
Terdahulu, AS menggunakan kuasa vetonya membantah resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan menjadi satu-satunya negara yang menentang resolusi tersebut, selain Rusia dan United Kingdom mengambil pendirian berkecuali.